Sunday, April 27, 2008

Rawatan laser pulih masalah kulit

Rawatan laser pulih masalah kulit

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my

Berita Harian, 27 th April 2008.


RAWATAN guna pancaran mikro laser jadi pilihan selebriti dan orang kenamaan.

MosaicII atasi parut jerawat, luka, kedutan, kesan sinar matahari

MEMPUNYAI kulit wajah putih mulus dan lembut umpama kulit bayi menjadi impian setiap wanita. Walau apa saja kaedah dan peruntukan perlu dilaburkan, mereka tidak akan berkira malah sanggup mempertaruhkan kulit wajah dengan harapan, akan kembali cantik dan muda.

Selain penggunaan produk penjagaan muka bersifat kosmetik atau separa kosmetik (kosmoseutical) yang banyak di pasaran, ada kaedah lain yang lebih efektif dalam menangani kulit bermasalah serta garis kedutan akibat peralihan usia.

Pakar Kulit dari Klinik Pakar Kulit Chua terletak di Bandar Puteri, Puchong, Selangor, Dr Andrew Chua Sak Eng berkata, alat berteknologi tinggi menggunakan erbium glass fractional 1550 nanometer (nm) laser yang dinamakan MosaicII. Beliau mendakwa rawatan menggunakan pancaran mikro laser ini menjadi pilihan selebriti dan orang kenamaan yang ingin mengembalikan keremajaan kulit.

"Ia membantu menyelesaikan masalah kulit seperti parut jerawat, parut luka, kedutan, kesan pancaran matahari (sun-damaged skin), pigmentasi, liang roma terbuka dan warna kulit tidak sekata.

"Paling utama, sinaran laser yang dipancarkan menembusi lapisan epidermis kulit sehingga lapisan dermis itu akan memperbaiki dan meningkatkan kolagen di dalam kulit menjadikan kulit wajah kembali muda dalam tempoh singkat.



"Jika rawatan ini dilakukan secara sistematik, ia dijamin dapat menghaluskan tekstur kulit, mengurangkan garis halus dan parut serta meningkatkan keanjalan kulit menjadikan anda kelihatan lebih muda dari usia sebenar," katanya.

Pancaran laser glass 1550 nm fractional merawat masalah kulit tanpa menjejaskan lapisan luar kulit. Komplikasi selepas rawatan seperti pedih atau kesan terbakar pada kulit juga kurang, malah proses pemulihannya juga cepat.

Dr Chua berkata, selepas menjalani rawatan laser, pelanggan dapat melihat perubahan pada kulit dalam tempoh berkala iaitu selepas beberapa hari rawatan hingga sebulan.

"MosaicII amat berkesan untuk merawat masalah kulit yang berlaku di lapisan epidermis seperti melasma disebabkan gangguan hormon, biasanya dihadapi wanita berusia 30-an ke atas. Melasma mengakibatkan kulit wajah ditumbuhi tompokan hitam yang begitu ketara.

"Keberkesanan rawatan ini dalam membantu mencerahkan kembali tompokan hitam berkenaan dijamin malah kesannya boleh dilihat dalam tempoh singkat selepas beberapa sesi rawatan," katanya.

Rawatan laser ini juga berkesan merawat parut terutama parut jerawat jika dilakukan beberapa sesi rawatan. Bagi menjamin keberkesanan rawatan, Dr Chua biasanya akan menggabungkan rawatan laser bersama suntikan Botulinium dan 'filler' berdasarkan masalah kulit yang dihadapi.

"Selain kaedah suntikan, teknik laser juga boleh dibuat bersama rawatan pengelupasan (peeling) bagi mendapatkan hasil yang terbaik," katanya.

Bagaimanapun, Dr Chua berkata, untuk mendapatkan kulit yang ketara cantik dalam tempoh singkat, pelanggan biasanya perlu menjalani tiga hingga enam sesi rawatan mengikut keadaan kulit.

Kos rawatan adalah serendah RM300 hingga RM1,500 berbeza mengikut masalah yang dihadapi. U

Labels: ,